Showing posts with label Mh370. Show all posts
Showing posts with label Mh370. Show all posts

Thursday, 13 March 2014

Juruterbang kata 'OK' sebelum pesawat hilang

Posted by Geng Awek Malaysia On 07:46

Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) mendedahkan, juruterbang memberi makluman yang baik ketika ketika perbualan terakhir sebelum pesawat itu gagal dikesan, Sabtu lalu.

Laporan Sinar Harian yang memetik kenyataan penolong pengarah NATCC, Siti Sarah Lebai Abu itu menyebut, juruterbang memaklumkan “OK roger, good day,” sebelum radar kedudukan pesawat tersebut gagal dikesan.

"Ketika mahu menyerahkan (kawalan udara) kepada Ho Chi Minh, saya memaklumkan kod talian kepada juruterbang terbabit (Kapten Zaharie Ahmad Shah), beliau memberi respons yang baik.

"'OK roger, good day (Baik. Sekian, terima kasih)', itulah kata-kata terakhir yang diberikan kepada kami di sini sebelum rada kedudukan pesawat itu gagal dikesan selepas memasuki zon (kepulauan) Igari."

Menurutnya, kesemuanya berjalan lancar di awal 40 minit pertama penerbangan selepas pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada kira-kira jam 12.40 awal pagi,

"Bagaimanapun, kami gagal mengesan isyarat radar pesawat terbabit selepas menyerahkan tugas kawalan kepada pengkalan Ho Chi Minh (Vietnam) beberapa minit kemudian," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Operasi diketuai M'sia jadi sasaran kritikan

Posted by Geng Awek Malaysia On 07:44

Kritikan demi kritikan menimpa pihak berkuasa Malaysia yang mengetuai operasi mencari dan menyelamat pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur yang hilang tidak lama selepas berlepas ke Beijing, Sabtu lalu.

Antara lainnya, kritikan itu disuarakan oleh seorang pemerhati Amerika Syarikat yang membangkitkan mengenai perjanjian yang sepatutnya ditandatangani oleh negara terlibat dalam operasi antarabangsa seperti ini.

Bekas pengarah urusan National Transportation Safety Board (NTSB), Peter Goelz berkata perjanjian itu akan menggariskan kaedah untuk menjalankan siasatan besar seperti ini dan juga usaha untuk melibatkan negara berkepentingan.

Selain itu, ia juga dapat menangani khabar angin dan menyalurkan maklumat benar.

“Inilah yang paling teruk pernah saya lihat,” kata bekas pengarah urusan lembaga tersebut, katanya dalam satu laporan di laman CNN.

“Setiap kali berlaku kemalangan antarabangsa seperti ini, akan berlaku keadaan berkecamuk pada peringkat 24, 36 jam yang pertama. Sebab itulah ada perjanjian yang perlu ditandatangani oleh semua pihak.

Beliau mendakwa, Malaysia tidak menandatangani dan mematuhi perjanjian seperti itu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein pula dalam kenyataannya petang ini menegaskan bahawa Malaysia mematuhi protokol yang ditetapkan oleh International Civil Aviation Organisation sejak kejadian tersebut bermula.

Malaysia juga tidak mengambil apa-apa tindakan yang membahayakan operasi mencari dan menyelamat, katanya.

Bagaimanapun, Malaysia tidak dapat mendedahkan maklumat tertentu seperti isyarat radar yang menurutnya boleh menjejaskan siasatan atau usaha mencari pesawat.

Beliau yang menafikan bahawa Malaysia melengah-lengahkan operasi berkenaan turut membangkitkan mengenai laporan berhubung dakwaan mengenai kewujudan imej satelit dari China mengenai objek di Laut China Selatan.

Menurut Bernama, Hishammuddin berkata ia menyebabkan Malaysia menggembleng kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) digembleng untuk mengesan lokasi dan objek tersebut.

Bagaimanapun, imej berkenaan didapati tidak benar dan China menjelaskan bahawa membuat kesilapan dengan mendedahkan imej berkenaan yang didakwa dirakam Ahad lalu.

MAS nafi laporan isu data enjin MH370

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:12
Ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya menafikan menafikan laporan media asing yang menyebut bahawa pesawat MH370 mungkin telah terbang selama beberapa jam selepas ia hilang dari skrin radar.

Katanya, rekod MAS menunjukkan bahawa data terakhir dari sistem pemantauan Aircraft Communications Addressing and Reporting System (Acars) dipancarkan pada 1.07 pagi waktu tempatan.

“Ia adalam pemancara (data enjin) terakhir yang kita terima dari pesawat itu. Ia tidak melewati tempoh itu,” katanya dalam satu sidang media hari ini.

The Wall Street Journal melaporkan penyiasat penerbangan AS dan pejabat keselamatan negara itu percaya pesawat itu terbang selama lima jam, berdasarkan data yang dimuat-turun dan dihantar secara automatik dari enjin Boeing 777 sebagai sebahagian daripada program pemantauan standard.

Dalam sidang media hari ini, menteri pemangku pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu juga berkata pengeluaran imejan satelit oleh pihak China mengenai kemungkinan ia bangkai pesawat berkenaan, telah tersalah dikeluarkan.

Bekas mufti tegur guna bomoh cari MH370

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:12

Bekas mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menegur penggunaan aktiviti perbomohan untuk mencari pesawat MH370 yang hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing Sabtu lalu.

Sambil menyifatkannya "satu kerja bodoh", Asri berkata, amalan “khurafat dan tahyul” itu tidak boleh diterima sama sekali kerana bertentangan dengan akal waras.

“Ini tahyul, khurafat, kerja bodoh dan tidak waras. Agama tidak dapat terima (langkah ini). Dengan buat begitu, dia (bomoh) beri gambaran salah pada ajaran Islam.

“Dia seolah ambil kesempatan. Siapa yang membawanya (untuk tujuan itu), amat malang dan memalukan,” kata Dr Mohd Asri (kiri) yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) itu.

Bernama semalam melaporkan, kehilangan MH370 mendapat perhatian "Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP" Ibrahim Mat Zin yang mendakwa dijemput seorang pegawai tertinggi negara ke KLIA bagi menggunakan ilmu tradisional dan solat hajat.

Ibrahim berkata, beliau menggunakan bubu mata pancing dan teropong yang diperbuat daripada buluh untuk meminta dan berdoa supaya melepaskan mangsa agar dapat dijumpai secepat mungkin.

Berpengalaman selama 50 tahun, Ibrahim menjadi popular melalui perkhidmatan kejadian Highland Tower runtuh, pencarian mayat semasa banjir Kuala Dipang, Kampar Perak dan kes pembunuhan seorang ahli politik oleh Mona Fendy.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Asri menegaskan, dalam Islam, tiada sesiapa yang mengetahui perkara ghaib kerana ia di luar pengetahuan manusia.

“Tiada siapa boleh buat kuasa tuhan. Kalau boleh, sudah tentu Nabi Muhammad menjampi semua penentangnya supaya terima Islam.

“Kuasa-kuasa ghaib ini kalau berlaku menggunakan perantara syaitan. Mungkin (hasilnya) jadi, tapi ia bukan ajaran Islam,” katanya.

Penyelamat China temui objek terapung

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:11
Pasukan penyelamat China menemui objek terapung di permukaan laut, yang disyaki dari pesawat Malaysia Airlines penerbangan MB370.

Laporan agensi berita Xinhua menyebut, ditemui di satu kedudukan mungkin menjadi lokasi kehilangan pesawat tersebut, pada Sabtu.

Xinhua pagi ini menyiarkan gambar pasukan penyelamat sedang memungut satu objek berwarna oren dari permukaan laut.

Setakat ini belum disahkan sekiranya objek berkenaan dari MH370.
 
Sejak beberapa hari lalu, beberapa objek yang ditemui didapati bukan dari pesawat tersebut.

Ujian dari satu tompokan minyak yang dijumpai juga mendapati ia bukan dari bahan bakar jet pesawat terbang.


Laporan tumpu sikap pembantu juruterbang

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:10
Satu laporan yang muncul di media Australia menggambarkan perspektif berbeza ke atas sikap seorang pembantu juruterbang untuk pesawat MH370, yang masih belum ditemui sehingga kini.

Laporan TV Channel 8 Australia itu menggariskan dengan terperinci tindakan pembantu juruterbang itu, Fariq Abdul Hamid dan rakan-rakannya ketika membantu mengemudi satu penerbangan lain dari Phuket, Thailand ke Kuala Lumpur.

Laporan itu menyebut, Fariq merokok dan berfoya-foya dengan dua orang penumpang wanita di kokpit kapal, ketika pesawat yang dinaiki sedang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur.

Roos memberitahu rancangan TV A Current Affair bahawa beliau dan Maree turut merakam gambar mereka dengan juruterbang bersama tersebut dalam kokpit.

“Sepanjang penerbangan tersebut mereka berbual-bual dengan kami dan turut merokok ketika dalam penerbangan, yang saya rasa tidak dibenarkan.

"Pada satu masa, mereka turut berpaling ke arah kami sepanjang masa dan berbual dengan kami.

"Mereka sangat berminat dengan perbualan tersebut, dan dia turut memegang tangan kawan saya dan berkata, 'tangan anda sangat berkedut. Itu bermakna anda sangat kreatif' dan turut menegur pengilat kukunya,” kata Roos.

Menurut laporan berkenaan, Fariq mengenalpasti warga Afrika Selatan ketika kedua-duanya sedang menunggu untuk menaiki penerbangan tersebut di lapangan terbang Phuket pada Disember 2011.

Katanya, seorang pramugari menjemput mereka untuk ke kokpit kapal penerbangan Phuket-Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, juruterbang pesawat MH370 pula, Kapten Zaharie Ahmad Shah, 53, digambarkan sebagai seorang yang amat meminati dunia penerbangan dan turut memasang sistem simulasi penerbangan di kediamannya.

Anwar: Siapa bayar bomoh '1Malaysia'?

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:08
Sidang Dewan Rakyat petang ini gamat seketika apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas kejadian bomoh melakukan upacara di KLIA untuk 'membantu' mencari pesawat MH370 yang hilang dalam penerbangan ke Beijing.

Menurut Anwar (kiri), tindakan bomoh tersebut memalukan negara dan wajar disiasat untuk mengetahui siapa yang menjemput bomoh tersebut.

"Siapa yang bagi kebenaran buat kerja begitu? Sudahlah khurafat, syirik, dan dibayar, kemudian dipanggil pula media antarabangsa (membuat liputan).

"Saya hendak desak mesti ada siasatan penuh kerana ia kejadian yang memalukan negara.

"Siapa yang desak? Siapa yang luluskan? Siapa yang bayar? Ini memalukan negara.

"Nanti terpampang pula bomoh 1Malaysia," kata Anwar seraya menepuk dadanya, tempat pin 1Malaysia biasanya disematkan buat mereka yang memakai kot.

'Tak tuduh, tapi tanya PM, Rosmah'

Anwar juga sempat mengusik anggota Parlimen BN apabila menggesa kemunculan Ibrahim dirujuk kepada perdana menteri dan isterinya.

"Tanyalah pada perdana menteri dan isteri. Saya kata tanya, saya tak buat tuduhan," kata Anwar sambil tersenyum simpul.

Ibrahim Mat Zain bukan nama asing di kalangan sesetengah orang kerana iklan tentang khidmatnya yang diberi julukan “Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP” kerap terbit dalam akhbar tabloid berbahasa Melayu.

Beliau juga sering kelihatan memakai sut lengkap bertali leher dan bersongkok serta pin baju berlogo 1Malaysia apabila melakukan upacara perbomohan.

Pada 10 Mac lalu, beliau mencuri perhatian ramai apabila muncul di KLIA menggunakan bubu mata pancing dan teropong yang diperbuat daripada buluh untuk meminta dan berdoa supaya melepaskan penumpang MH370 agar dapat dijumpai secepat mungkin.

Tampar mati buaya tembaga

Beliau sebelum ini dilaporkan mendakwa kehadirannya di KLIA adalah atas jemputan seorang VVIP.

Semalam, beliau sekali lagi muncul di KLIA bersama pembantunya dan tiga orang daripada mereka duduk di atas sehelai tikar.

Seorang daripadanya memegang tongkat, sementara dua orang lagi memegang dua biji kelapa di atas kepala dan memegang bakul dalam upacara mereka.

Kemunculan kali kedua beliau semalam mengundang pelbagai reaksi daripada personaliti agama, NGO serta menteri.

Berpengalaman selama 50 tahun, Ibrahim menjadi popular melalui perkhidmatan kejadian Highland Tower runtuh, pencarian mayat semasa banjir Kuala Dipang, Kampar Perak dan kes pembunuhan seorang ahli politik oleh Mona Fendy.

Beliau juga didakwa pernah menampar seekor buaya tembaga sehingga mati.

Shahidan: BN takkan upah bomoh 'Do Re Mi'

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:07
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim menafikan kerajaan mengupah 'Raja Bomoh Sedunia Nujum VIP' yang muncul di KLIA untuk 'membantu' mencari pesawat MH370 yang hilang dalam perjalanan ke Beijing.

"Tentang bomoh tadi, saya percaya tidak dibuat oleh Umno, oleh BN dan tidak dibuat oleh mana-mana agensi kerajaan kerana cara perlakuan bomoh itu.

"Pertama, dibuat di tempat orang ramai. Dia pakai pakaian macam cerita (P Ramlee, Laksamana) Do Re Mi.

"Jadi bayangkan, takkan kita nak buat macam itu," katanya sewaktu menjawab soalan wartawan.

Beliau diminta mengulas gesaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar siasatan dilakukan untuk mengetahui siapa yang menjemput bomoh tersebut.

Menurut Shahidan lagi, kerajaan sememangnya tiada kaitan dengan bomoh itu walaupun beliau dikaitkan dengan slogan '1Malaysia'.

"Jadi oleh kerana ada 1Malaysia di belakang, orang tuduh kerajaan yang buat.

"Kerja kita yang utama sekarang adalah mencari pesawat yang hilang," kata Shahidan lagi.

Curi perhatian

Bomoh yang dimaksudkan, Ibrahim Mat Zain bukan nama asing di kalangan sesetengah orang kerana iklan tentang khidmatnya kerap terbit dalam akhbar tabloid berbahasa Melayu.

Beliau juga sering kelihatan memakai sut lengkap bertali leher dan bersongkok serta pin baju berlogo 1Malaysia apabila melakukan upacara perbomohan.

Pada 10 Mac lalu, beliau mencuri perhatian ramai apabila muncul di KLIA menggunakan bubu mata pancing dan teropong yang diperbuat daripada buluh untuk meminta dan berdoa supaya melepaskan penumpang MH370 agar dapat dijumpai secepat mungkin.

Beliau sebelum ini dilaporkan mendakwa kehadirannya di KLIA adalah atas jemputan seorang VVIP.

Semalam, beliau sekali lagi muncul di KLIA bersama pembantunya dan tiga orang daripada mereka duduk di atas sehelai tikar.

Seorang daripadanya memegang tongkat, sementara dua orang lagi memegang dua biji kelapa di atas kepala dan memegang bakul dalam upacara mereka.

Polis cari petunjuk, temui keluarga anak kapal

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:07

Polis telah menemui keluarga kru pesawat Malaysia Airline untuk mencari petunjuk berhubung kehilangan pesawat tersebut pada 8 Mac lalu.

"Polis sedang mencari apa-apa maklumat yang boleh membantu usaha mencarinya. Ia adalah untuk membantu siasatan, bukan untuk mengambil tindakan (terhadap ahli keluarga)," kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Ditanya sama ada ia bertujuan untuk mencari petunjuk tentang kemungkinan berlaku sabotaj, beliau berkata ia merupakan salah satu perkara yang disiasat oleh pihak polis.

"Ia adalah sebahagian daripada empat perkara yang dinyatakan oleh Ketua Polis Negara," katanya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata polis sedang menyiasat kemungkinan berlaku rampasan, sabotaj, masalah psikologi penumpang dan kru dan masalah peribadi penumpang dan anak kapal.

Penyataan Ahmad Zahid itu dibuat selepas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Datuk Hadi Ho Abdullah menafikan laporan Harian Metro yang memetiknya sebagai berkata bahawa rumah penumpang dan kru, digeledah.

MAS nafi laporan isu data enjin MH370

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:06
Ketua pegawai eksekutif MAS Ahmad Jauhari Yahya menafikan menafikan laporan media asing yang menyebut bahawa pesawat MH370 mungkin telah terbang selama beberapa jam selepas ia hilang dari skrin radar.

The Wall Street Journal melaporkan penyiasat penerbangan AS dan pejabat keselamatan negara itu percaya pesawat itu terbang selama lima jam, berdasarkan data yang dimuat-turun dan dihantar secara automatik dari enjin Boeing 777 sebagai sebahagian daripada program pemantauan standard.

Dalam sidang media hari ini, menteri pemangku pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein itu juga berkata pengeluaran imejan satelit oleh pihak China mengenai kemungkinan ia bangkai pesawat berkenaan, telah tersalah dikeluarkan.


Data enjin MH370 cetus persoalan baru

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:05
Satu laporan Wall Street Journal menyebut penyiasat Amerika Syarikat mengesyaki bahawa pesawat MH370 kekal dalam penerbangan selama kira-kira lima jam dalam keadaan yang belum dikenalpasti.

Laporan berkenaan, memetik seorang pegawai penyiasat penerbangan dan seorang pegawai keselamatan negara itu menyebut, pesawat itu mungkin terbang selama empat jam selepas melewati lokasi terakhir yang disahkan.

Laporan itu berdasarkan data yang dihantar secara automatik dan dimuat turun dari program penyelenggaraan dan pemantauan enjin di pesawat Boeing 777 itu, lapor Wall Street Journal.

Data berkenaan membangkitkan persoalan baru mengenai nasib yang menimpa pesawat membawa 239 orang dalam dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.

Laporan itu seterusnya menyebut pegawai anti-keganasan negara tersebut kini melihat kepada kemungkinan bahawa pesawat berkenaan mungkin dilencong ke satu lokasi lain selepas alat pengesan dalam pesawat itu dimatikan untuk mengelak dari dikesan radar.

Laporan itu muncul ketika pihak berkuasa masih tidak pasti di lautan mana hendak mencari pesawat tersebut yang hilang pada hari Sabtu selepas berlepas dari Kuala Lumpur.

Kali terakhir pesawat itu dikesan pada skrin radar awam ialah sejurus sebelum jam 1.30 pagi Sabtu, kurang satu jam selepas ia berlepas dari Kuala Lumpur, ketika ia terbang menuju ke arah timur laut melintas muara Teluk Thailand ke Beijing.

WSJ berkata ia tidak jelas sama ada penyiasat mempunyai bukti yang menunjukkan kemungkinan berlaku keganasan atau pengintipan.

"Setakat ini, pegawai keselamatan negara AS berkata tiada sesuatu yang khusus yang menunjuk ke arah keganasan, walaupun mereka tidak menolak kemungkinan itu.

"Tetapi ketidakpastian yang besar tentang di mana pesawat itu menuju, dan mengapa ia nampaknya terus terbang begitu jauh tanpa transponder beroperasi, telah menimbulkan teori di kalangan penyiasat bahawa pesawat itu mungkin telah dikuasai atas sebab-sebab yang tidak jelas kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat.

"Ada antara teori itu telah dikemukakan kepada pegawai keselamatan negara dan kakitangan kanan daripada pelbagai agensi Amerika Syarikat, demikian menurut seorang biasa dengan perkara itu," kata laporan itu lagi.

Dalam satu taklimat, WSJ berkata, pegawai telah diberitahu bahawa para penyiasat secara aktif memantau tanggapan bahawa pesawat itu telah ditukar arah "dengan niat untuk menggunakannya kemudian untuk tujuan lain".

Dengan penerbangan selama lima jam, termasuk sejam di udara sebelum terputus hubungan, memungkinkan pesawat itu sampai sejauh Lautan Hindi, sempadan Pakistan atau Laut Arab.

Menurut WSJ, sistem pemantauan enjin pesawat itu disediakan oleh pengeluarnya, Rolls -Royce PLC, dan secara berkala menghantar data tentang keadaan enjin itu, operasi dan pergerakan pesawat itu.

"Sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelenggaraannya, Malaysia Airlines menghantar data enjin langsung kepada Rolls -Royce untuk analisis.

"Sistem ini menyusun data dari dalam dua enjin Trent 800 pesawat 777 dan menghantar gambar prestasinya, dan juga ketinggian dan kelajuannya.

"Ia dikumpul dan dihantar dalam setiap 30 minit, kata seorang yang biasa dengan sistem tersebut."

Bagaimanapun, satu lagi laporan Reuters, seorang pegawai kanan Malaysia Airlines memberitahu bahawa data seperti itu tidak wujud.

Seorang lagi pegawai Malaysia Airlines berkata beliau tidak mengetahui mengenai perkara itu, lapor agensi tersebut.

Penyelamat siasat objek terapung, kesan asap

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:03

Malaysia dan Vietnam menghantar pesawat untuk menyiasat objek dan kesan asap yang dikesan di Laut China Selatan oleh satelit China.

Laporan Reuters menyebut, pasukan Vietnam telahpun meninjau kawasan yang ditunjukkan dalam imej satelit tersebut, tetapi akan tetap menghantar pesawatnya untuk menyiasat sekali lagi.

Timbalan menteri pengangkutannya Pham Quy Tieu dilaporkan sebagai berkata, mereka menyiasat kawasan berkenaan sejak tiga hari lalu.

Pemangku menteri pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Hishammuddin Hussein juga mengesahkan operasi tersebut, dalam tulisannya di Twitter.

Pasukan berkenaan akan mengesan sama ada tiga objek tersebut berkaitan dengan penerbangan MH370.

Jurucakap kerajaan China bagaimanapun menyatakan bahawa mereka tidak dapat mengesahkan sekiranya imej dari satelit mereka itu benar-benar berkaitan dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang.

“Satelit China menemui asap dan objek terapung... Buat masa ini kami tidak dapat mengesahkan sekiranya ini berkaitan dengan pesawat yang hilang,” kata ketua jabatan itu Li Jianxiang seperti dilaporkan agensi Reuters.

Laporan itu juga menyebut, tiada bukti yang menunjukkan tentera Malaysia menyembunyikan maklumat mengenai pesawat yang hilang itu.

China sebelum ini mengeluarkan kenyataan bahawa salah satu satelitnya mengesan tiga “objek terapung” di kawasan laut yang disyaki sebagai kawasan kemalangan pesawat Malaysia Airlines tersebut.

Objek yang disyaki itu, menurut kenyataan pentadbiran China, dikesan pada kedudukan 105.63 darjah timur dan 6.7 darjah utara.

Lokasi itu terletak hampir dengan laluan pesawat Malaysia Airlines dari Kuala Lumpur ke Beijing itu.

Agensi berita menyebut, saiz dimensi objek terbabit dianggarkan berukuran 13 kali 18 meter, 14 kali 19 meter dan 24 kali 22 meter.

Sementara itu, ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata, pasukan Malaysia telahpun menyiasat kawasan berkenaan sebelum ini.

"Tiada apa-apa. Kami sudah ke sana, tiada apa-apa ditemui," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Menurut laporan ABC News, pasukan Vietnam sebelum ini turut menyiasat dakwaan bahawa satu objek terbakar pada pagi Selasa berhampiran satu pelantar minyak di perairan timur negara itu.

Menurut laporan itu, pencarian di kawasan berkenaan tidak membuahkan sebarang hasil.


Juruterbang dilapor aktifkan kod 'tango'

Posted by Geng Awek Malaysia On 04:02
Seorang juruterbang berpengalaman mendakwa juruterbang MH370, Kapten Zaharie Shah telah mengaktifkan isyarat 'tango' 40 minit selepas pesawat itu dikesan hilang dari radar menara kawalan.

Katanya, kod rahsia 'tango' atau 'charlie' hanya diaktifkan apabila berlaku kecemasan seperti rampasan pesawat di udara, laporSinar Harian.

"Setiap juruterbang akan diingatkan mengenai isyarat-isyarat ini. Ia hanya boleh diaktifkan jika rampasan dan tidak pernah menjadi mainan mana-mana juruterbang sebelum ini. Ini etika kami sebagai juruterbang," beliau dipetik sebagai berkata.

Menurut juruterbang itu, kod tersebut diaktifkan untuk memberitahu Pusat Kawalan Trafik Udara Nasional (NATCC) berhubung masalah pengendalian pesawat yang memerlukan tindakan lanjut unit kawalan.

"Kita mempunyai kod rahsia masing-masing, tetapi 'tango' atau 'charlie' adalah sebagai pengenalan jika berlakunya rampasan,"katanya.

Bagaimanapun, apabila ditanya mekanisme isyarat itu dikeluar beliau enggan mendedahkan kerana maklumat itu sulit.

Sementara itu, harian itu juga melaporkan seorang pegawai perhubungan media MAS mengakui pihaknya mengeluarkan kod itu ekoran kehilangan pesawat tetapi ia tidak merujuk pada rampasan.

"Ya, kami telah mengisytiharkan kod 'tango' tetapi ia bukan bermaksud rampasan (pesawat). Itu mesej untuk kami meningkatkan lagi tahap keselamatan," katanya. Habis.